Interpretatio graeca (Latin untuk "terjemahan Yunani"), atau "pentafsiran melalui [model-model] Yunani", merujuk kepada kecenderungan orang Yunani purba untuk memadankan dewa-dewa asing dengan dewa-dewa mereka sendiri.[1][2] Ia merupakan satu wacana[3] yang digunakan untuk mentafsir atau cuba memahami mitologi dan agama budaya lain; satu metodologi perbandingan yang menggunakan konsep dan amalan agama, dewa-dewi, mitos, persamaan, dan ciri-ciri yang dikongsi dalam agama Yunani purba.
Frasa ini memerikan usaha orang Yunani dalam menerangkan kepercayaan dan mitos orang lain, seperti ketika Herodotus menerangkan agama Mesir berdasarkan analogi Yunani yang dilihatnya, atau ketika Dionysius dari Halicarnassus dan Plutarch mendokumentasikan kultus, kuil-kuil dan amalan Romawi dengan menggunakan nama dewa-dewa Yunani yang setara. Interpretatio graeca juga menerangkan tafsiran orang bukan Yunani akan sistem kepercayaan mereka sendiri melalui perbandingan atau asimilasi dengan model-model Yunani, seperti ketika orang Rom menyesuaikan mitos dan ikonografi Yunani dengan nama dewa-dewa mereka sendiri.
Interpretatio romana ialah cara membandingkan agama dan mitos Rom purba, seperti dalam pembentukan agama Gallo-Rom yang tersendiri. Kedua-dua orang Rom dan Gaul mentafsirkan semula tradisi keagamaan Gaul dengan merujuk kepada model Rom, terutamanya dalam kultus Imperial.
Jan Assmann menganggap pendekatan politeisme dalam mengantarabangsakan dewa-dewi sebagai satu bentuk "penterjemahan antara budaya":
"Pencapaian besar politeisme ialah pengartikulasian sebuah semesta semantik yang sama. ... Erti sesuatu dewa ialah sifat khususnya yang diekspresikan dalam mitos, nyanyian pujian, upacara dan sebagainya. Sifat-sifat ini menjadikan sesuatu dewa dapat disetarakan dengan dewa-dewi lain yang mempunyai ciri-ciri serupa. Keserupaan antara dewa menjadikan nama-nama mereka boleh saling diterjemahkan. ... Amalan menterjemahkan nama dewa mencipta konsep keserupaan dan menghasilkan idea atau keyakinan bahawa dewa-dewi adalah bersifat antarabangsa."[4]
Plinius yang Tua mengungkapkan "kebolehterjemahan" dewa-dewi ini sebagai "nama yang berbeza untuk bangsa yang berbeza" (nomina alia aliis gentibus).[5] Keupayaan ini membolehkan sinkretisme keagamaan dalam era Helenistik dan Empayar Rom pra-Kristian.